Followers

Sunday, November 13, 2011

CINTA DARMIA 2

“Assalamualaikum” Darmia memberi salam. Tiada sahutan. Di cuba sekali lagi. “Waalaikummussalam” kedengaran suara Latifah dari dalam rumah. Darmia telan air liur.

‘Kenapalah masa ini, Mak Long ada kat rumah. Kenapa tak pergi kedai ke, pasar ke’ rungut Darmia.

“Hah kau nak apa datang sini?”soal Latifah kasar.

“Opah suruh hantar ini untuk Mak Long” Darmia menunjukkan bekas berisi gulai ikan keli pada Latifah. Gugup juga dia mendengar suara Latifah yang seperti halilintar ingin memecahkan bumi.

“Apa tu?” soal Latifah malas.

“Gulai Ikan keli” hampir tak terkeluar tutur kata Darmia.

“Aku tak nak. Kat rumah aku ni macam-macam lauk ada. Bawa je balik. Nanti kebulur pulak kau dengan orang tua tu” angkuh benar bicara Latifah. Ada nada kebencian pada kata-katanya. Dia tidak kisah jika Latifah tidak mahu lauk yang dibawanya tapi tidak perlulah dia dihina begitu sekali. Cukup terkilan rasanya bila Opah juga terlibat sama. Sedangkan Opah adalah ibu kandung Latifah. Berdosa seorang anak memanggil ibunya dengan perkataan sebegitu.

“Eh, Mia. Naiklah.”tiba-tiba Haliza muncul dengan senyuman manis dari dalam rumah apabila terdengar suara kasar ibunya. Dia tahu Darmia sudah datang.

“Tak apalah kak. Mia dah lambat ni” Darmia terus berpaling untuk pergi.

“Nantilah dulu, Mia” Langkah Darmia terhenti.

“Eloklah tu. Pergilah cepat” Latifah bagai menghalau. Memang dia tidak suka darmia menjejakkan kakinya di rumah itu. Hatinya sakit setiap kali memandang wajah gadis itu.

“Mak....”Geram benar Haliza dengan perangai ibunya. Tidak habis-habis.

“Naiklah Mia. Akak nak cakap sesuatu dengan Mia. Dah lama tak jumpa kan” Latifah menjeling tajam sebelum berlalu dari situ. Darmia menunduk. Sedar rasa kurang senang dihati ibu saudaranya itu. Darmia melangkah perlahan naik ke anjung rumah Latifah yang jarang dapat dijejaknya.

“Duduklah” Darmia menurut. Haliza tersenyum.

“Mia apa khabar?” soal Haliza memulakan perbualan.

“Baik. Akak?” soal Darmia pula

“Baik. Mia nampak cantik sekarang” Darmia tersenyum mendengar pujian Haliza.

“Mana ada. Kalau Akak cantiklah. Mia ni apa yang ada kak. Belajar pun tak tinggi macam akak.” Darmia merendahkan diri. Dia hanya pelajar lepasan SPM. Nak masuk Universiti Salmah tak bagi. Tak ada duit katanya.

“Akak cakap betul Mia.” Darmia hanya tersenyum.

“Ada-ada je akak ni. Opah cakap akak ada hal nak bagitau Mia. Apa dia kak?”soal Darmia apabila teringat kata-kata neneknya pagi tadi.

“Kak Liza nak ajak Mia ke KL. Mia nak tak?” entah kali ke berapa Haliza mengajaknya.

“Akak tahu Mia risaukan Opah. Tapi kalau duduk kampung ni apa yang ada. Akak boleh tolong Mia sambung belajar kat sana. Akak dah tengok-tengokkan kolej yang sesuai ” ujar Haliza cuba memujuk. Dia sudah tahu apa yang berbisik dihati Darmia. Haliza amat bersimpati dengan Darmia yang bercita-cita tinggi. Lagipun keputusan SPM Darmia amat cemerlang tidak seperti adiknya. Dia mahu melihat Darmia berjaya. Darmia diam tapi hatinya melonjak gembira. Dia memang teringin untuk melanjutkan pelajarannya kembali walaupun sudah hampir 4 tahun dia meninggalkan alam persekolahan.

“Mia bimbangkan Opah. Kalau Mia ikut akak, siapa nak jaga Opah?. Opah tu dah tua kak. Tak larat nak buat kerja sorang-sorang” ujar Darmia. Hatinya kini berbelah bagi.

“Lisa boleh tengok-tengokkan” begitu bersungguh Haliza mengajaknya. Anis Alisa anak bongsu Latifah. Walaupun Anis Alisa dan Darmia sebaya, namun mereka tidak pernah rapat dari kecil. Ada saja benda yang tak kena pada pandangan Anis Alisa. Sama macam ibunya juga. Anis Alisa sekarang bekerja sebagai kerani di kilang membuat pakaian di bandar. Gadis itu tidak sebijak Haliza. Selepas menamatkan SPM dia tidak berminat lagi untuk belajar walaupun Latifah sanggup menghantarnya ke kolej swasta. Ah! Dia tidak sanggup meninggalkn Opahnya kepada Lisa. Nak datang setahun sekali pun payah ke teratak buruk Opah walaupun nenek tua itu darah dagingnya sndiri. Busuk katanya.

“Mia fikirlah. Akak tak paksa” ucap Haliza. Ada riak kecewa di wajahnya. Dia tahu terlalu payah untuk Darmia membuat keputusan.

No comments: