Followers

Saturday, November 12, 2011

CINTA DARMIA 1

“Mia. Kamu kat mana” panggil opah dari dapur rumah usang. Opah menjenguk ke tingkap dapur. Tercari-cari kelibat cucunya.

“Mia...” laung Opah sekali lagi
“Ya Opah. Mia kat sini. Ada apa?” Darmia melambai tangannya. Dia sibuk mengutip sayur-sayuran di belakang rumah. Banyak betul hasil dari titik peluhnya. Memang hobi Darmia menanam. Tanamlah apa saja pasti hidup subur. Orang kata tak rugi berbudi pada tanah. Lagipun itulah sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Dia sudah tiada sesiapa. Hanya Opah saja yang sudi menerimanya. Nak harapkan Mak Long, jarang benar dia datang menjenguk. Mak Ngah?. Makan sendiri pun belum tentu cukup. Bukan Darmia tidak tahu, Salleh pemalas orangnya. Semuanya diharapkan pada isteri.

“Nanti hantar kuah gulai sikit ke rumah Mak Long kau ye” ujar Opah. Opah sudah pun melabuhkan punggung di pangkin bawah pohon mangga yang rendang. Memerhatikan cucunya mengumpul sayur-sayuran.

“Tak nak lah Opah. Opah kan tahu Mak Long tak suka Mia. Nanti dia tak ambik lauk tu” ujar Darmia. Dia faham benar dengan perangai emak saudaranya yang seorang tu. Mulut lancang. Jika sudah berkata langsung tidak dipedulikan hati orang yang mendengar. Laju je kalau bab-bab menyumpah seranah orang. Tak tahu mengapa ibu saudaranya itu terlalu membencinya. Tengok muka pun tak nak. Macamlah dia tu hodoh benar.

“Pergilah Mia. Tadi Opah jumpa Liza. Dia baru balik dari bandar. Dia cakap nak jumpa kamu”ujar Opah lagi. Tangannya pantas mengayam tikar mengkuang yang sudah separuh siap. Itulah kerja Opah untuk menampah pendapatan mereka sekeluarga. Walaupun tikar mengkuang sudah tidak mendapat sambutan, tapi masih ada permintaan di kalangan penduduk kampung.

“Kak Liza nak apa Opah?” soal Darmia. Hatinya melonjak gembira. Haliza sepupunya itulah yang selalu membela apabila Mak Long memarahinya. Sudah setahun Haliza tidak pulang ke kampung. Katanya sibuk dengan urusan kerja. Haliza bekerja sebagai jurutera di syarikat besar di Kuala Lumpur. Itu kata Haliza bila ditanya mengenai pekerjaannya. Darmia juga teringin ke Kuala Lumpur. Kata orang di situ, banyak bangunan tinggi yang cantik. Tapi dia sendiri tidak sampai hati meninggalkan neneknya yang sudah tua. Sudah berkali-kali Haliza mengajaknya ke sana. Namun sering saja dia menghampakan Haliza,

“Mia.. kamu dengar tak apa Opah cakap ni” Darmia tersentap.

“Apa Opah?” soal Darmia sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tersengih memandang Opah

“Astarfirullahalazim. Opah cakap sorang-soranglah rupanya. Kamu ni suka sangat mengelamun” bebel Opah.

“Opah cakap apa tadi?” Darmia menghampiri Opah. Di tangannya ada sebakul petola yang akan di jual petang nanti di pasar.

“Tak lama lagi Kak Liza kau tu nak bertunang?” tangan tua Opah masih tekun mengayam.

“Tunang? Dengan siapa?” soal Darmia. Dilabuhkan punggungnya di beranda berhampiran Opah. Dikesat peluh di dahi dengan lengan baju kurungnya.

“Tak tahulah pulak. Tapi kata Mak Long kau dengan bos tempat kerja dia. Kau pergilah jumpa Liza tu sebelum pergi pasar” pujuk Opah.

“Yelah. Nanti Mia pergi. Mia nak mandilah Opah. Nanti nak pergi rumah Mak Long. Nanti tak pasal-pasal busuk pulak rumah Mak Long tu” Ucap Darmia.

“Patutlah Opah bau busuk je. Tak mandi lagi rupanya. Anak dara apalah kamu ni” bebel Opah.

“Anak dara kesayangan Opah lah. Busuk-busuk pun Opah sayang kan” Darmia tersengih.

“Yelah tu. Pergi mandi cepat. Tak kuasa Opah nak melayan kamu” ucap Opah.

“Yelah Opah. Opah, tengok tu” Darmia tuding jari ke jalan raya. Pantas pipi tua opah dikucup. Darmia terus berlari ke tangga dapur sebelum tangan ketam opahnya hinggap ke lengan sambil ketawa besar.

“Opah pun dah busuk” ucapnya riang.

“Sudah pergi mandi. Sebelum Opah piat telinga” pantas saja kaki Darmia menaiki tangga. Opah hanya mampu tersenyum dengan kenakalan cucunya. Gembira hatinya ada juga peneman di usia tua.

No comments: