Followers

Wednesday, September 19, 2012

review SETITIS KASIH DARMIA


"Semua orang kata saya terlalu naif.....

apa pun yang khairul amir lakukan, saya hanya diam, turutkan sahaja kata-katanya...

tapi semua orang tak tahu, saya lebih takut kalau kak Liza tahu rahsia kami...

demi kak Liza saya sanggup biar pun saya terpaksa gadaikan kebahagiaan saya...

Sebab saya dah cukup bahagia bila dia gembira....

Khairul Amir adalah lelaki yang hadir melafazkan ijab kabul pada saya suatu waktu dahulu...

Pertemuan kami terlalu singkat...... hanya beberapa jam sahaja

tapi Kak Liza hadir sudah lebih 20 tahun dalam hidup saya...

kalau awak di tempat saya,

saya pasti, awak pun takkan sanggup lihat kak Liza kecewa semata-mata kerana keangkuhan Khairul Amir, kan?? - Darmia



Aku kejam!!

Ya! memang aku kejam...

aku benci perempuan tak ada maruah...

seharusnya sebagai perempuan korang kena jaga maruah korang baik-baik sebab lelaki memang suka ambik kesempatan....

tapi....... dia lain.... dia cantik, dia lembut, dia sopan dan dia juga tak ada maruah...

sanggup perangkap aku supaya kahwin dengan dia....

tapi, aku tak tahu kenapa....

parasnya menganggu egoku....

sabar dan diamnya.... memadamkan marahku....

lalu aku keliru dalam rasa yang satu.....
Dia buat aku sengsara...

dia buat aku derita menanggung rasa cinta...

dan dia buat aku sedar bahawa takdir kehidupan aku, bukan ada di tangan aku...

tapi Allah yang mengaturkan kami bertemu dalam keadaan yang memalukan dan....

Dia juga mengaturkan hatiku untuk sntiasa mencintai isteriku yang satu, Darmia - Khairul Amir


Cinta kadang-kala membawa bahagia,

cinta juga kadang-kala memberi derita,

apalah ertinya cinta andai hanya aku yang mencurahkannya,

cinta buat aku gila

cinta buat aku buta menilai yang mana intan dan yang mana kaca

cinta juga membawa aku pada suatu keinsafan

Allah m'anugerahkan pada aku rasa cinta ini aku sentiasa mencintai diriNYA... tapi aku lupa dan leka

lalu Allah berikan aku ujian, mencelikkan mataku yang buta mengenai cinta...... baru aku sedar,

"aku mencintaimu sepenuh jiwa dan ragaku tapi Allah tak menganugerahkan cintamu kepadaku" - Haliza


Siapa yang belum dapatkan SKD, dapatkan segera di POPULAR BOOKSTORE atau secara online dengan SR PUBLICATION....."

jom baca sikit sedutan dari novel SKD.......



Berhenti!” jerit Darmia. Kalau dia tidak buat apa-apa keputusan sekarang pasti dia akan menyesal nanti fikirnya. Perasaan takut ditolak tepi. Apa yang ada dalam otaknya hanyalah melarikan diri.

“Baik kau duduk diam-diam. Aku dah kata jangan pergi. Kenapa degil sangat?” marah Khairul Amir. Darahnya terasa mendidih. Geram bila Darmia ingkar perintahnya. Sakit hati bila tahu Zulfeqar bersama Darmia. Marah bila Darmia cuba melarikan diri darinya. Seolah-olah dia terlalu jijik untuk gadis itu. Semua perasaaan bergumpul menjadi gelombang yang maha ganas dalam diri Khairul Amir. Barannya datang tanpa boleh ditahan lagi. Kalau bukan memikirkan Zulfeqar adalah sahabat, di situ juga muka macho milik Zulfeqar jadi mangsa penumbuknya. Sesuka hati pegang tangan bini orang. Kalau setakat itu sahaja tidak mengapa tapi bila tangan gatal lelaki itu mengusap pipi isterinya, dia jadi marah. Tercabar egonya sebagai seorang suami.

“Kau call Zek?” soal Khairul Amir tanpa memandang wajah Darmia.

“Aku kata berhenti” tegas kata-kata Darmia.

“Aku tanya kau tadi, kau call Zek suruh ambik kau kan?” tuduh Khairul Amir.

“Aku tak nak ikut kau”

“Habis kau nak ikut siapa? Zek? Kau ingat sesenang itu kau boleh lepas dari aku ye. Jangan nak berangan.” Hati Darmia geram mendengar bicara sinis Khairul Amir. Entah apa yang sedang bermain difikiran lelaki itu. Kereta Khairul Amir terasa makin laju. Selaju aliran darah kemarahannya.

“Apa lagi yang kau nak dari aku?. Cukuplah. Tak puas lagi ke hati kau?” Soal Darmia.

“Kenapa? Aku tak sesuai untuk kau?” Lain yang di soal lain pula soalan yang timbul.

“Aku tak nak. Aku benci lelaki macam kau” Jawab Darmia berani. Rasanya jawapan itu yang dikehendaki oleh Khairul Amir.

“Habis lelaki macam mana kau suka? Macam zek? Macam kekasih kau kat kampung? Apa yang dia orang ada? Harta? Aku boleh bagi kau lebih dari tu” ucap Khairul Amir dalam nada geram yang tertahan-tahan.

“Tak habis-habis dengan harta. Ya. Memang aku sukakan dia orang sebab sekurang-kurangnya dia orang ada hati yang bersih walaupun dia orang tak sekaya kau. Harta bukan segala-galanya. Tak perlu kau nak berbangga dengan daki dunia tu. Bila kau mati, kau takkan bawa satu sen pun masuk dalam lubang kubur” entah dari mana jawapan berani mati itu boleh meniti begitu jelas di bibir Darmia. Khairul Amir tekan brek mengejut. Kepala Darmia terhantuk. Berkerut muka Darmia tahan sakit. Mata Khairul Amir tajam menikam. Menyala-nyala api kemarahan di matanya. Kata-kata Darmia begitu menyakitkan. Bak pedang menghiris setangkai hati miliknya.

“Jadi betullah kau suka Zek?” perlahan soalan itu diajukan tapi cukup jelas dipendengaran Darmia. Darmia diam. Berfikir sejenak.

“Jawab!!!. Kau suka zek kan?” tengking Khairul Amir.

“Ya. Aku suka dia. Apa yang kau nak buat dengan aku hah?” Darmia juga sama panas. Dia lemas dengan tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan. Dia rimas bila lelaki itu menuding jari padanya seolah-olah dia perempuan yang tiada harga diri. Lalu untuk apa lagi ditahan benteng sabarnya yang sudah mula runtuh. Untuk apa ditahan lagi rasa hormat yang mula tercalar. Kalau memang ini cara berjuang dia sanggup kalah dalam peperangan asal bukan berputih mata menyaksikan dirinya ditikam tanpa membuat apa-apa serangan. Amarah yang terkumpul selama ini membuak-buak melimpahi ruang sabarnya. Terus Khairul Amir keluar dari perut kereta. Tubuh Darmia di tarik masuk ke banglo mewahnya.


BAB 68

Tangan Darmia ditarik kuat mengikuti langkahnya ke kamar. Hatinya membara. Cemburu mula menguasai ruang hati. Sakit benar hatinya bila setiap aksi Darmia bersama Zulfeqar terlakar di ruang mata. Sakit benar jiwanya bila telinganya seolah merakam tutur kata Darmia.

‘Ya. Aku sukakan dia’ berulang kali bergetar perkataan itu di gegendang telinganya. Dia sudah tidak peduli apa pun yang bakal terjadi.

“Lepaskan aku” Jerit Darmia. Takut dia melihat wajah bengis Khairul Amir saat itu.

“Aku takkan lepaskan kau. Kau ingat kau boleh lepas dari aku macam tu je. Kau ingat kau boleh bersama Zulfeqar. Hah? Dalam mimpi pun aku takkan benarkan sesiapa memiliki kau kecuali aku.” tengking Khairul Amir. Tubuh kecil Darmia dihumban ke katil. Darmia takut.

“Awak nak apa? Kenapa buat saya macam ni” Darmia diburu ketakutan. Dia takut untuk memikirkan apa yang bakal dilakukan oleh lelaki itu. Sedaya-upaya dia berusaha untuk melarikan diri. Nyata lelaki itu lebih pantas bertindak.

“Aku nak kau. Aku nak kau jadi milik aku. Milik aku seorang.” Terasa berat tubuh Khairul Amir yang menindihnya.

“Lepaskan aku” Darmia menjerit. Tubuh Khairul Amir ditolak sekuat hati. Namun ternyata dia tidak berdaya. Rayuan dan tangisan Darmia bagai sia-sia. Khairul Amir bagai orang pekak. Langsung tiada belas kasihan pada isterinya itu. Jiwanya dikuasai perasaan cemburu yang meluap-luap. Dia harus memiliki jiwa dan raga gadis itu. Akhirnya Darmia tewas mempertahankan kegadisannya. Air matanya terus mengalir laju. Di luar gerimis mula turun membasahi bumi. Bagai mengerti kesengsaraan dan kesedihan isi bumi.

*********

Kenapa dia buat aku macam ni??? Apa salah aku?? Ya Allah kenapa begitu besar cabaran yang Engkau berikan padaku. Aku hamba Mu yang tidak berdaya. Tolong aku Ya Allah. Tabah jiwaku Ya Allah...... rintih Darmia. Air mata tidak berhenti mengalir. Terasa air paip yang mencurah membasahi tubuhnya tidak mampu menanggalkan kotoran yang melekat ditubuhnya.

‘Aku benci kau’ keras kata-kata yang terlahir dari hatinya.

‘Aku benci kau!. Aku benci!’ makin kuat tangisan yang memenuhi kamar mandi itu. Sayu terasa segenap ruang hati. Sesayu suara tangisan yang tak tahu bila akan berhenti.

*********

Khairul Amir mundar-mandir diruang kerjanya. Rasa kesal dengan sikap barannya. Kenapa perlu aku turutkan kata hati. Bila hati menjadi raja maka rosaklah kerajaan tubuh. Apa aku nak buat ni. Khairul Amir diburu rasa bersalah.

“Kau kejam Amir” entah dari mana suara itu datang.

“Aku tak kejam. Aku cuma nak dia jadi milik aku” Khairul Amir mempertahankan dirinya

“Dengan memaksa dia untuk menerima kau. Kau seksa dia” suara itu kembali mengasak.

“Tak aku tak seksa dia. Dia isteri aku. Aku sayangkan dia” Khairul Amir bermonolog.

“Isteri? Layak ke kau untuk mengaku dia isteri kau. 4 tahun dulu kau tinggalkan dia. Sekarang kau nak terhegeh-hegeh. Kau tak malu ke jilat ludah kau sendiri” bisik suara itu. Terasa begitu menyakitkan hatinya.

“Aku cintakan dia. Aku hanya nakkan dia”

“Dia bukan barang yang kau boleh beli dengan harta kau, Amir. Kau silap membuat perhitungan. Dia ada maruah. Dia perempuan yang punya harga diri dan kau dah musnahkan hati dan perasaannya”

“Tidak!!!!!!..... aku tak sengaja. Aku tak berniat nak sakiti dia. Aku cintakan dia” Dia tahu Darmia akan bertambah membencinya. Tidak sepatutnya dia melakukan perkara sebegitu di saat gadis itu kesedihan, di saat gadis itu berasa kehilangan. Lelaki jenis apakah dia yang terlalu mementingkan diri sendiri. Yang dia tahu hanya mengikut amarah.

“Cinta? Itu bukan cinta Amir, itu nafsu . nafsu kau yang meminta kau memilikinya. Kau tak layak untuk dia...kau tak layak. Kau kejam!!!”

“Diam!!! Diam!!!” pasu di atas meja dicampak ke dinding. Berderai pasu itu dikerjakan.

“Maafkan aku Mia...maafkan aku.” Ada mutiara mahal mengalir dari celahan kelopak matanya menyesali segala perbuatannya.

BAB 69

Darmia termenung sendirian di beranda kamar indah milik Khairul Amir. Renungannya sayu memandang kepekatan malam. Sesekali angin sejuk menyapa tubuhnya yang sedikit menggigil. Peristiwa semalam benar-benar membuatkan dia benci pada lelaki itu. Masih teringat kata-kata cinta yang dibisikkan ke telinganya. Dia benci dengan ucapan itu. Seharusnya cinta itu diungkapkan bersama kasih dan sayang tetapi lelaki itu telah mengasarinya. Mengambil haknya tanpa kerelaan. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia lari daripada lelaki itu, namun dia terkurung di situ bersama igauan ngeri. Sejak semalam Khairul Amir belum menampakkan dirinya. Entah ke mana lelaki itu pergi. Darmia tidak mampu untuk melelapkan mata. Setiap kali matanya terpejam pasti peristiwa itu menjengah di ruang mimpinya. Dia gerun.

“Tak tidur lagi?” Darmia tersentak. Dengan sendiri tubuhnya menggigil. Mengigil menahan rasa marah dan benci. Namun begitu masih terselit perasaan takut dalam hatinya.

“Buat apa kat luar ni malam-malam?” soal Khairul Amir merapati. Darmia berundur. Dia tidak mahu berada hampir dengan lelaki itu. Dia benci. Khairul Amir mengukir senyuman pahit dalam kedinginan suasana antara mereka. Dia tahu Darmia marah. Dia tahu dalam hati Darmia sudah berbunga rasa benci.

“Aku...aku...” Ah payah benar ingin mengucapkan dua patah kata itu. Seumur hidupnya jarang benar perkataan itu meniti di bibir.

“Aku....minta maaf” Fuh lega bila dah keluar.

“Maaf?” Darmia pandang wajah Khairul Amir dengan penuh rasa benci.

“Tolong maafkan aku. Aku...aku tak sengaja.” Ucap Khairul Amir serba salah. Dia juga tidak pasti perkataan apa yang sesuai dilafazkan tika ini.

“Tak sengaja? Kau tak sengaja?” Darmia ketawa sinis. Ketawa yang dibuat-buat.

“Kau tak sengaja musnahkan hidup aku? Tu yang kau kata tak sengaja. Kau jangan harap aku akan maafkan kau. Kalau kata-kata maaf kau tu boleh kembalikan semua yang dah kau musnahkan, aku akan terima” Ucap Darmia dengan rasa benci yang meluap-luap. Darmia ingin melangkah pergi. Tidak ingin terus berlama di situ. Dia berasa jijik untuk mendengar suara lelaki itu malah kalau boleh, dia tidak mahu melihat pun bayang lelaki itu.

“Mia, aku akan bertanggungjawab. Kita bina hidup baru” Khairul Amir pegang lengan Darmia. Menghalang langkah gadis itu. Pantas Darmia merentap kuat hingga cengkaman lelaki itu terlerai. Tak sudi disentuh walau seinci pun tubuhnya.

“Aku tak perlukan belas ihsan kau. Tanggungjawab kau, dah lama kau abaikan. Kau tak perlu nak bertanggungjawab apa pun sekarang.” Marah Darmia. Setelah segalanya diragut tanpa kerelaan senang lelaki itu ingin menyelesaikan masalah.

“Ini bukan belas ihsan, aku memang nak jaga kau. Aku sayangkan kau”

“Betul kau sayangkan aku?” soal Darmia. Khairul Amir angguk.

“Kalau macam tu lepaskan aku dari ikatan yang menyakitkan ini. Buktikan rasa sayang kau tu” balas Darmia. Riak nekad terpancar di wajahnya.

“Tidak. Walauapa pun terjadi, aku takkan lepaskan kau. Itu janji aku”

“Aku tak nak hidup dengan kau. Kalau kau sayangkan aku, lepaskan aku. Itu je permintaan aku. Aku tak nak harta kau.” Bentak Darmia.

“Demi kau, aku sanggup serahkan semua yang aku ada” Darmia ketawa bersama linangan air mata.

“Aku ni perempuan kampung!. Perempuan miskin!. Aku sedar siapa aku. Tapi aku bukanlah perempuan murahan yang kau boleh beli dengan harta kau” Melengking kuat suara Darmia. Ada rasa sayu dibalik kata-katanya. Dia bukannya manusia yang boleh dijual dan dibeli. Dirinya ada maruah dan duit bukanlah segala-galanya.

“Bukan begitu maksud aku” Khairul Amir berusaha menafikan.

“Selama 4 tahun ni kau dan aku boleh hidup dengan bahagia, jadi lepaskanlah aku. Teruskan kehidupan kau” Pinta Darmia untuk kesekian kali.

“Itu kisah 4 tahun yang lalu. Sekarang aku dah tak boleh bahagia tanpa kau. I need you. Always need you. Selama 3 bulan kau hadir dalam hidup aku, sudah cukup untuk aku jatuh cinta pada kau. Mulai hari ni kita bina hidup baru. Aku adalah suami kau dan kau adalah isteri aku.” Ucap Khairul Amir sambil merenung wajah Darmia.

“Allah ciptakan isteri, bukan untuk di sakiti tapi untuk di sayangi. Kau hanya tahu menyakiti aku. Sampai bila-bila pun aku tak nak menjadi isteri kau” Tegas Darmia. Lelaki itu seolah-olah sedang mendesaknya.

“Aku tak tahu apa lagi yang harus aku katakan pada kau. Aku tahu kau bencikan aku. Tapi aku minta, berilah aku peluang sekali lagi untuk buktikan cinta aku pada kau” Ada mutiara jernih terbit di tubir mata Khairul Amir. Darmia geleng.

“Aku tak perlukan kau. Seumur hidup aku tak perlukan kau” Darmia tidak mahu terus berada di situ. Dadanya terasa sesak. Pantas tangan Darmia disambar. Tidak mahu gadis itu pergi darinya

“Mia” tubuhnya kini kemas dalam pelukan Khairul Amir. Terasa hangat tubuh lelaki itu mendakapnya erat. Tubuh sasa itu cuba ditolak.

“Aku cintakan kau.” Bisik Khairul Amir dalam kepayahan. Darmia cuba meronta. Makin erat pelukan Khairul Amir.

“Mulai hari ini, esok dan selamanya kau adalah isteri untukku bukan lagi hamba atau pembantu rumah. Kau adalah suri hatiku. Untuk selamanya. Aku janji akan bahagiakan kau.” Makin deras air mata di pipi Darmia.

“Aku tak nak!” Darmia tolak kuat tubuh Khairul Amir apabila terasa pelukan itu kian longgar. Terundur sedikit lelaki itu. Terus Darmia berlari ke kamar. Di sembam mukanya ke bantal. Menangis semahunya di situ. Khairul Amir hanya memandang. Tangisan yang menjadi irama dalam bilik sepi itu mengundang rasa sedih di hati Khairul Amir. Air matanya turut laju menuruni pipi. Sungguh dia juga sama terluka dalam cinta yang rumit ini. Saat itu bagai terngiang-ngiang lagu Rindu memaksaku menyayangimu nyanyian Francisca Peter berdendang sayu, sesayu hatinya saat itu. Bait-bait lagu bagaikan mengerti perasaannya tika itu.

Andai engkau mengerti
Perasaan di hati ini
Pasti engkau menyedari
Betapa hatiku merinduimu
Bukan mudahnya aku
Untuk melafazkan cinta
Sekali ku melafazkan
Sampai bila pun ku menyintamu
Rindu memaksaku menyayangimu
Tak daya ku menahan
Segala perasaan aku
Yang makin gelora
Setelah engkau menyedari
Sambutlah cintaku
Sepi mengajar aku
Tentang perlunya cinta
Walau pedih walau perit
Terpaksa aku menghadapi